IPOH: Seramai 11 peserta aktiviti pemanduan lasak kenderaan pacuan empat roda (4X4) ditahan kerana memasuki Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Temenggor di Hulu Perak, tanpa permit, pada awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, mereka yang ditahan sekitar pukul 1 pagi di Hutan Simpan Amanjaya itu terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua peserta itu sedang menuju ke Hutan Simpan Temenggor bagi tujuan aktiviti perkelahan.

“Kesemua individu tersebut telah didapati melakukan kesalahan kerana memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) tanpa kebenaran dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak setelah gagal mengemukakan dokumen kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita lima buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) dan dibawa ke Stor Rampasan Bandariang.

Sehubungan itu, katanya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Gerik hari ini dan kesemua 11 individu telah dilepaskan dengan bon jaminan polis.

Mohamed Zin berkata, kesalahan yang boleh didakwa ke atas kesemua suspek ialah di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 iaitu kesalahan memasuki HSK tanpa permit.

Berdasarkan seksyen itu, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, kata Mohamed Zin, ia akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada mana-mana individu dan orang awam bahawa semua aktiviti rekreasi di dalam HSK adalah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pihaknya akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh PKP.