KUALA LUMPUR: Insiden pencerobohan beberapa lelaki di menara Merdeka 118 yang tersebar di media sosial, baru-baru ini berlaku pada 1 Mei tahun lepas dan penceroboh tersebut telah ditahan polis.

PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, penceroboh itu sudah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari yang sama, namun tidak mendedahkan hukuman dikenakan terhadap mereka.

Tegas syarikat itu, aksi tersebut menyalahi undang-undang dan berbahaya sekali gus merisikokan keselamatan penceroboh dan pekerja di tapak pembangunan.

BACA: Warga Rusia dedah pengalaman ceroboh Menara Merdeka 118

“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram.

“Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami. Justeru, PNBMV akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatannya.

Menara Merdeka 118 | Polis rujuk MCMC pastikan video tular ceroboh menara tulen

“Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Media pada Selasa melaporkan pencipta kandungan YouTube, Driftershoots memuat naik video mereka memasuki menara tersebut yang dikatakan dilakukan pada 30 Disember lepas.

Video tersebut antara lain menunjukkan cara mereka menyelinap masuk ke dalam menara itu dan kemudian meraikan kejayaan selepas menawan menara tersebut.

BACA: Ceroboh beri imej negatif keselamatan negara

Baru-baru ini, tular gambar pasangan dari Rusia, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan itu yang dipercayai memanjat menara terbabit.

PNBMV, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan kejadian berkenaan.