KUANTAN:Sekurang-kurangnya sepuluh pantai di Pahang termasuk Cherating, mengalami hakisan serius dan perlu ditangani segera bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada aktiviti pelancongan dan ekonomi penduduk setempat.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, pihaknya mengesan hakisan sepanjang 63 kilometer (km) daripada keseluruhan 271km pantai di Pahang.

"Kadar hakisan yang berlaku biasanya antara satu hingga empat meter (m). Sementara itu, 2.7km dari pantai terbabit pula, mengalami keadaan hakisan yang sangat kritikal melebihi 4m.

"Antara pantai-pantai yang terlibat adalah pantai di Cherating, Balok, Teluk Chempedak, Kempadang, Kampung Sepat Cherok Paloh, Tanjung Batu, Kuala Rompin, Tanjung Gemok dan Kampung Mukut," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu itu dan mengambil langkah sewajarnya untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

"Ada beberapa kaedah yang perlu kita buat. Antaranya, membina 'rock revetment' iaitu meletakkan batu-batu di kawasan ini supaya apabila ombak datang, ia tidak akan menghakis pasir yang ada, tetapi pantai asal.

"Cuma, pantai asal sudah tiada lagi. Apabila kita bina 'rock revetment' ini, ia akan nampak batu-batu ini. Tetapi, kita kena buat juga, kerana sebahagian kawasan ini adalah kawasan penempatan.

"Ada juga terjadi di kawasan bot nelayan, tempat mereka mengumpul ikan dan tempat membaiki bot," katanya sambil menambah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengkaji kaedah terbaik menyelesaikan isu tersebut. 

Menurut Mohd Sharkar, kos untuk kerja-kerja membina 'rock revetment' dianggarkan kira-kira RM10 juta bagi setiap 1km.

Hakisan | 10 pantai di Pahang kini diancam hakisan