BEIJING: Presiden China Xi Jinping mengemukakan tiga cadangan untuk membantu menyelesaikan isu Afghanistan antara lain, menggalakkan kestabilan peralihan situasi di Afghanistan bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan menerusi saluran politik.

Beliau turut menekankan bahawa urusan sesebuah negara perlu diputuskan oleh rakyat serta berharap negara anggota SCO dan CSTO memanfaatkan kelebihan dan pengaruh masing-masing untuk mengekalkan penyelesaian isu di Afghanistan secara politik.

"China menggesa Afghanistan tegas memerangi pertubuhan keganasan di wilayahnya dan mencegah kelompok pengganas daripada melakukan jenayah di negara lain.

"Ini merupakan tuntutan yang adil dan rasional negara jiran Afghansitan termasuk China.

"Afghanistan sepatutnya menunaikan janjinya dan mengambil tindakan antikeganasan dengan bersungguh-sungguh sehingga beransur-ansur mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa," katanya semasa berucap secara maya pada sidang kemuncak pemimpin Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang diadakan 17 September lalu.

Selain itu, Xi mencadangkan dialog atau rundingan dibuat dengan Afgansitan yang dapat membantu negara itu kembali kepada masyarakat antarabangsa.

Menerusi cadangannya yang ketiga pula, beliau menyeru pelbagai pihak memikul tanggungjawab memberikan bantuan kepada rakyat Afghanistan.

"China telah mengumumkan akan menghantar tiga juta dos vaksin COVID-19 dan membekalkan barangan bantuan kecemasan bernilai RMB200 juta (RM129 juta) kepada Afghanistan termasuk biji-bijian dan barangan untuk kegunaan musim sejuk," katanya.

-- BERNAMA