ZHEJIANG (China): China sedang merancang membenarkan pelajar antarabangsa, termasuk dari Malaysia kembali ke negara itu bagi menyambung semula pengajian mereka, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama era pasca COVID-19 yang dipengerusikan bersama dengan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.

Menurut Saifuddin, keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahun akhir dan mereka yang perlu menggunakan kemudahan makmal bagi bidang pengajian melibatkan penyelidikan yang tidak boleh dibuat secara dalam talian.

"Beliau (Wang Yi) menyatakan mereka ada senarai negara pelajar yang belajar di China dan beliau memaklumkan kepada saya Malaysia berada antara yang tertinggi dalam senarai itu.

"Beliau (Wang Yi) tidak menyatakan bila proses kembalinya pelajar-pelajar itu akan bermula tetapi daripada cara beliau memberitahu saya, mereka mahu perkara itu dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada media Malaysia, di sini pada Sabtu.

Saifuddin berkata, terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia menuntut di China, namun terpaksa pulang ke tanah air semasa COVID-19 mula merebak di negara itu pada tahun lepas.

Beliau berkata, buat masa ini Malaysia masih menunggu syarat-syarat dan proses yang akan diumumkan kerajaan China berkenaan urusan kepulangan pelajar ke universiti masing-masing.

Memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar persendirian tanpa penaja, beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan kumpulan bekas pelajar (alumni) Malaysia yang mempunyai maklumat penuntut berkenaan.

"Oleh kerana mereka telah membentuk satu network sesama mereka, jadi saya menawarkan mungkin kita boleh bantu memudahkan hubungan dengan penuntut Malaysia yang menunggu untuk pulang belajar di China," katanya.

Menurut Saifuddin, pelajar berkenaan mengikuti pelbagai bidang pengajian termasuk sains dan teknologi, bahasa dan perubatan tradisional.

Selain itu, katanya, terdapat lebih 100 pelajar Malaysia masih berada di China ketika ini.

Saifuddin dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke China mulai Jumaat, atas undangan Wang Yi. - BERNAMA