Cikgu Itum 'betul-betul berkorban diri' demi pendidikan anak bangsa

Ruzaini Zulkepli
Februari 20, 2018 05:45 MYT
Keadaan pacuan empat roda yang dipandu Cikgu Itum Likum remuk teruk selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda lain dari arah bertentangan di Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu.- Foto Ihsan PDRM
Rutin hariannya adalah menumpangkan lima murid untuk ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Kem Kok Lawi, Sabindo dari Taman Pantai Lok Kawi.
Namun hari ini menjadi hari terakhir bagi Cikgu Itum Likum, 52 tahun apabila dia maut dalam nahas dalam perjalanan ke sekolah sebagaimana rutin hariannya.
Kilometer 16 Jalan Papar-Kota Kinabalu jadi titik akhir apabila pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu mangsa tiba-tiba dirempuh sebuah Toyota Hilux yang terbabas dari arah bertentangan.
Insiden berlaku sekitar 6.30 pagi ketika Ituk bersama lima muridnya dalam perjalanan ke sekolah, sementara Toyota Hilux dinaiki suami isteri berusia 50-an.
Menurut maklumat, sebaik tiba di lokasi kejadian, tidak semena-mena pemandu Toyota Hilux itu gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas serta merempuh pembahagi jalan berhampiran pusingan U sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dinaiki mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Haris Ibrahim ketika dihubungi berkata, impak daripada kemalangan itu menyebabkan kedua-dua pacuan empat roda terbabit remuk teruk di bahagian hadapan.
"Mangsa yang maut berusia 52 tahun itu merupakan seorang guru di SK Kem Lok Kawi, Putatan disahkan meninggal dunia di dalam ambulans oleh pegawai perubatan ketika digegaskan ke hospital.
"Sementara itu hanya dua pelajar sahaja yang mengalami patah kaki dan gigi manakala tiga yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Semua murid yang terlibat berusia 10 hingga 12 tahun itu kini diberi rawatan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu," katanya.
Pasangan suami isteri yang menaiki Toyota Hilux bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan tindakan susulan sudah diambil oleh polis.
"Siasatan lanjut masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini diminta segera tampil,'' katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#cikgu kemalangan #Ford #Ford Ranger #kemalangan #kemalangan maut #Kota Kinabalu #maut #meninggal dunia #Nahas #pacuan empat roda #Penampang #pendidikan #polis #Putatan #Sabah #SK Kem Lok Kawi #Toyota #Toyota Hilux