TEBEDU: Susulan pembukaan sempadan antarabangsa dan peralihan fasa endemik, Sarawak tidak terkecuali dalam memastikan pintu masuk ke negeri itu sentiasa berada dalam keadaan selamat daripada pengunjung luar.

Justeru, Sarawak mengambil inisiatif awal dengan mewujudkan Fasiliti Kesihatan di Pintu Masuk Sempadan yang terletak di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan ( ICQS) Tebedu bagi menyambut ketibaan pengunjung dari Indonesia biarpun pintu sempadan negara jiran itu belum dibuka.

Menurut Timbalan Premier Sarawak selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, walaupun Malaysia telah memasuki fasa endemik, namun penularan wabak COVID-19 tidak harus dipandang remeh.

“Pengunjung yang datang dari Indonesia melalui pintu masuk sempadan Tebedu perlu melakukan ujian saringan sebelum dibenarkan masuk ke Sarawak.

“Kemudian mereka dikehendaki untuk menjalani saringan PCR kedua di Kompleks ICQS Tebedu sebelum meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke ICQS Tebedu.

“Sehingga kini semua proses berjalan dengan lancar dan teratur. Semua agensi yang terlibat seperti pihak Kastam, Imigresen, Polis dan sektor swasta yang menyediakan fasiliti kesihatan telah melakukan tugas dengan begitu efisien.

Kata Uggah, bilangan kemasukan warga Indonesia dijangka meningkat sebaik sahaja pintu sempadan negara itu dibuka sepenuhnya.

“Kita menjangka lebih ramai kemasukan pengunjung ke Sarawak. Jika sebelum pandemik pada hari biasa boleh cecah sehingga 400, jumlah ini akan bertambah,” ujarnya.

Setakat 1 sehingga 12 April lalu, Statistik Pecahan Pergerakan Keluar Masuk Warga Asing ke Sarawak menunjukkan seramai 463 ketibaan dan 1,074 pelepasan pengunjung.

Selain itu, sejumlah 207 pengunjung direkodkan bagi kategori pelancongan perubatan dan 134 permit pekerjaan.