'Conteng' tong dram, Pekan Kartun edisi ke-9 tonjol kreativiti kartunis

Bernama
Disember 11, 2023 00:06 MYT
Peserta Mohd Amzari Abas menunjukkan hasil seni Cabaran Melukis Komik 24 Jam berlatar belakang Kellie's Castle pada Program Pekan Kartun edisi ke-9 di Batu Gajah, 10 Dis 2023. --fotoBERNAMA
BATU GAJAH: Kartunis dan penggiat seni doodle atau contengan menonjolkan kreativiti mereka melukis di atas tong dram dalam satu pertandingan pada Pekan Kartun di Kellie's Castle di sini semalam.
Program sempena merancakkan Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 itu merupakan anjuran bersama Persatuan Pelancongan Bumiputera Perak (PPPBP) dan pengurusan Pekan Kartun yang kini memasuki edisi kesembilan.
"Kebiasaannya mereka akan melukis di permukaan rata, kali ini cabarannya mereka perlu hasilkan kreativiti mereka di atas permukaan melengkung, jadi ia sesuatu yang baharu buat penggiat seni ini untuk nyatakan emosi pelukis doodle pelbagai bentuk karya, sama ada abstrak atau rawak," kata Pengerusi PPPBP Zamari Muhyi ketika ditemui pada program itu.
Beliau berkata program yang berlangsung dua hari bermula semalam itu merupakan platform menghubungkan para penggiat seni kartun seluruh negara yang memfokuskan pada seni doodle.
Menurut Zamari, antara kelainan ditampilkan pada Pekan Kartun kali ini adalah perkhemahan di tepian sungai yang menarik penyertaan 130 peserta, selain pertandingan mewarna Free Palestine, wayang pacak dan aktiviti memancing ikan sungai.
"Rutin Pekan Kartun adalah Cabaran Melukis 24 Jam yang begitu sinonim dengan penganjuran acara ini termasuk sesi bersama kartunis jemputan dan seminar berkaitan lukisan.
"Selain itu pelbagai acara dan aktiviti lain telah disajikan bagi memeriahkan lagi program seperti persembahan muzik, tayangan animasi dan jualan vendor," katanya.
Zamari berkata pihaknya turut menerima penyertaan daripada Kolej Komuniti Chenderoh, Pasir Salak dan Teluk Intan yang menganjurkan bengkel dan taklimat berkaitan seni lukis.
"Kita mengadakan program berbentuk wacana supaya hal-hal industri seni kartun ini akan dipanjangkan dan tidak berlalu begitu sahaja," katanya.
Beliau menambah hasil karya pada program itu akan dipamerkan di Kellie's Castle untuk tatapan pengunjung serta sebagai tarikan pelancong ke bangunan tinggalan bersejarah itu.
-- BERNAMA
#seni doodle #contengan #Pekan Kartun #Kellie's Castle