KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan 1,229 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 83,475 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,227 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,667 kes.

"Negeri Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 435 kes (35.4 peratus daripada keseluruhan kes) di mana 344 kes (79.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang giat dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 333 kes (27.1 peratus) dan Kuala Lumpur sebanyak 131 kes (10.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebanyak 200 kes (16.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (103 kes), Kluster Rumah Merah (78), Kluster Penjara Jalan Harapan (12), Kluster Bakti (tiga), Kluster Penjara Kepayan (satu), Kluster PTS Sibuga (satu), Kluster Matambai (satu) dan Kluster Penjara Seberang Perai (satu).

Pada masa sama, bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,309 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID19 adalah 69,393 kes (83.1 peratus).

Sehingga kini, terdapat 115 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 65 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata,  terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 415 kes (0.50 peratus).

Selain itu, terdapat enam kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

1. Kluster Hujung Pasir

Kluster ini berkaitan dengan tempat kerja dan melibatkan daerah Labuan di Labuan.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-82,138) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 12 Disember hasil saringan individu bergejala.

Sehingga 13 Disember 2020, sejumlah 143 individu telah disaring, di mana lima kes telah dikesan positif COVID-19.

2. Kluster Lestari

Kluster ini berkaitan dengan kumpulan berisiko tinggi yang melibatkan daerah Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang di Selangor serta daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-74,963) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 8 Disember hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Sehingga 13 Disember, sejumlah 351 individu telah disaring, di mana 31 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

3. Kluster Desa Idaman

Kluster berkaitan dengan keagamaan ini melibatkan daerah Kulai di Johor.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78,315) yang merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Disember dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Sehingga 13 Disember, sejumlah 52 individu telah disaring, dengan lapan kes telah dikesanpositif COVID-19 dalam kluster ini.

4. Kluster Tapak Bina Rimbun

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan.

Kes-kes awal bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 10 Disember hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah tapak binaan. Sehingga 13 Disember 2020, sejumlah 206 individu telah disaring, di mana 16 kes telah dikesan positif COVID-19.

5. Kluster Tanjung Suria

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor di Selangor.

Kes-kes awal bagi kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 bermula pada 7 Disember hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan dua buah kilang.

Sehingga 13 Disember, sejumlah 8,480 individu telah disaring, di mana 31 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

6. Kluster Kuala

Kluster berkaitan dengan tempat kerja ini melibatkan daerah Kuantan di negeri Pahang.

Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-78,483) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 10 Disember hasil saringan individu bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan.

Sehingga 13 Disember 2020, sejumlah 26 individu telah disaring, di mana 26 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.