KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 10 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,940 orang, daripada lebih 2.83 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiga kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 47,805 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 40,749 individu atau 85.2 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,042 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 2,890 kes dirawat di hospital dan 124 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 70 lagi memerlukan mesin ventilator.