COVID-19: 11 kes baharu, 333 pulih dan tiada kematian baharu

Astro Awani
Jun 16, 2020 10:00 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara dan 10 kes penularan dalam negara.
11 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,505 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kes adalah kes import warganegara yang mendapat jangkitan di luar negara dan 10 kes penularan dalam negara.
"Daripada 10 kes penularan di dalam negara, enam kes adalah bukan warganegara manakala empat kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.
"Enam kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara melibatkan dua kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu satu kes saringan untuk masuk kerja dan satu kes Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2. Empat kes di Negeri Sembilan iaitu melibatkan tiga kes dari Kluster Pedas dan satu kes Kluster Syarikat Pembersihan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Manakala, empat kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia melibatkan satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Putrajaya dan kemudian dipindah ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Tiga lagi kes melibatkan kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (ke-8,453) dan mereka adalah ahli keluarga kepada kes ke-8,453.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 651 kes, dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan, 333 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, melibatkan 307 kes adalah bukan warganegara dan 26 rakyat Malaysia.
"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,733 kes atau 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya lagi.
Sehingga kini, sebanyak empat (4) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.
"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," tambahnya.
#COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Hospital #ICU #keluarga #Kementerian Kesihatan #kes positif #kesihatan #koronavirus #Kuala Lumpur #Malaysia #Negeri Sembilan #Noor Hisham Abdullah #Putrajaya #rakyat #rakyat Malaysia #unit rawatan rapi