KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 113 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 33,497 orang, daripada 3.69 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 41 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Sementara itu, terdapat 310,160 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 297,924 individu atau 96.1 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,278 orang pula ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 8,570 kes dirawat di hospital dan 388 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 163 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 225 lagi memerlukan mesin ventilator.