KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 115 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 32,942 orang, daripada 3.47 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 36 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau 'brought-in-dead' (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 321,036 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 309,069 individu atau 96.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,425 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 8,182 kes dirawat di hospital dan 360 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes icu membabitkan 166 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 194 lagi memerlukan mesin ventilator.