KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 12 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,930 orang, daripada 2.82 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, dua daripada 12 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 46,785 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 39,394 individu atau 84.2 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,380 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 2,882 kes dirawat di hospital dan 129 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 57 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 72 lagi memerlukan mesin ventilator.