COVID-19: 120 kes positif, dua lagi kematian di Sarawak

Syafik Shukri Jalil
Januari 25, 2021 10:33 MYT
Daerah Bintulu kini dikategorikan sebagai zon merah selepas 46 kes jangkitan baharu direkodkan pada Isnin. FOTO: Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sarawak hari ini melaporkan pertambahan 120 kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 3,499 kes.
Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Sibu kekal mencatatkan kes harian tertinggi dengan 52 kes.
Ia diikuti Subis (11), Miri (10), Dalat dan Bintulu (sembilan), Kanowit (enam), Samarahan dan Julau (lima), Song (tiga), Kuching dan Kapit (dua) dan satu kes di Sarikei, Pakan, Selangau, Lubok Antu, Telang Usan dan Serian.
“Hari ini tiga daripada lapan kluster mencatatkan peningkatan dengan Kluster Pasai merekodkan pertambahan 56 kes pada Isnin.
“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Kluster Pasai meningkat kepada 1,474 kes.
“Setakat ini, 14,550 individu berkaitan kluster ini disaring dengan 11,710 disahan negatif manakala 1,366 masih menunggu keputusan ujian makmal,” kata kenyataan itu.
Selain itu, dua kematian dilaporkan di Sibu melibatkan warga tempatan berusia 72 dan 52 tahun menjadikan jumlah kes kematian di Sarawak meingkat kepada 30 kes.
“Kes 2,855 dimasukkan ke Hsopital Sibu pada 24 Januari 2021 kerana mengalami masalah kesukaran bernafas dan meninggal dunia sehari selepas itu. Kes turut menghidap beberapa penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan penyakit paru-paru kronik.
“Manakala kes kematian ke-30 melibatkan kes 2,672 yang dimasukkan ke Hospital Sibu pada 19 Januari akibat kesukaran bernafas kerana lebihan air dalam badan berpunca dari penyakit buah pinggang kronik.
Kes ini dilaporkan meninggal dunia pada 25 Januari 2021 dan dilaporkan menghidapi penyakit lain seperti darah tinggi, dislipidemia dan kencing manis.
Antara lain, daerah Bintulu kini dikategorikan sebagai zon merah selepas melaporkan 46 kes jangkitan baharu pada Isnin.
Sementara daerah Dalat kini dikategorikan sebagai zon jingga apabila merekodkan 39 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.
#kes COVID-19 di Sarawak #Kluster Pasai di Sibu #kes aktif di Sarawak #kluster aktif di Sarawak #zon merah di Sarawak #kes kematian COVID-19