KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 13 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,831 orang, daripada 2.8 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiga kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 41,129 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 34,253 individu atau 83.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,989 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 2,725 kes dirawat di hospital dan 162 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 86 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 76 lagi memerlukan mesin ventilator.