Sebanyak 14 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan pada Selasa membabitkan sembilan kes penularan dalam negara dan lima import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini meningkat kepada 9,354 kes.

"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 151 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, daripada sembilan penularan dalam negara, dua kes dilaporkan daripada Kluster Tawar dan Kluster Telaga, manakala tiga kes membabitkan kluster baharu dikenali sebagai Kluster Benteng Lahad Datu.

"Di Sabah,Kluster Benteng Lahad Datu dikesan membabitkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara," katanya.

Sehingga kini 21 kes dilaporkan telah pulih dengan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,075 kes bersamaan 97 peratus daripada jumlah keseluruhan.


Selain itu, katanya satu kematian dilaporkan dalam Kluster Tawar di negeri Kedah menjadikan jumlah kes kematian meningkat kepada 128 kes bersamaan 1.37 peratus daripada keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-128 (kes ke-9,174) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi. Dia merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 15 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar.

"Beliau mula mengalami gejala demam dan sakit dada sejak 6 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Pada 14 Ogos 2020, beliau dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang setelah didapati positif COVID-19.

"Keadaan kesihatan beliau merosot dengan komplikasi daripada penyakit barah, justeru memerlukan bantuan pernafasan sejak 24 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1 September 2020 jam 10.38 pagi," jelas Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehingga kini, terdapat lima kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan