COVID-19: 16 kematian baharu direkod, 2 BID

Astro Awani
Januari 21, 2022 20:47 MYT
Seramai 4,278 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC). - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 16 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,869 orang, daripada lebih 2.8 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, dua kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Untuk rekod, kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 42,843 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 35,554 individu atau 83. peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 4,278 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 2,862 kes dirawat di hospital dan 149 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 78 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 71 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #kes kematian #COVIDNOW #bid