KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 18,560 kes baharu COVID-19 pada Khamis, sedikit peningkatan berbanding hari sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 18,373 kes adalah kes jangkitan tempatan, manakala 187 kes adalah kes import.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 18,435 kes (99.33 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 125 kes (0.67 peratus) adalah kategori 3,4 dan 5.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak berkenaan meningkat kepada 4,201,919.

Sebanyak 267 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 164 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes sembuh pula adalah 18,253 kes.

Semalam juga, tiada kluster baharu direkodkan, dengan 198 kluster masih aktif.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.87, dengan Selangor mencatatkan bacaan tertinggi pada 1.06.