Sebanyak 18 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,634 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

Manakala, 14 kes merupakan penularan di dalam negara dan kesemuanya adalah bukan warganegara.

"14 kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara Malaysia melibatkan sembilan kes adalah kes saringan ulangan bagi Kluster Pedas di Negeri Sembilan, dua kes saringan Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sepang di Selangor, dua kes saringan iaitu satu kes saringan ke atas banduan sebelum dibebaskan dari penjara dan satu kes Severe Respiratory Acute Infection (SARI) dari Klinik Kesihatan ke hospital di Sabah dan satu kes saringan masuk kerja di tapak pembinaan di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 195 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ujar beliau lagi, 10 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,318 kes
(96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Pada masa sama, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 121 kes (1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujar beliau lagi.

Sehingga kini, dua kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.