COVID-19: 18 rakyat Malaysia pulang ke tanah air sejak PKPP disahkan positif

Umavathi Ramayah
Jun 17, 2020 08:27 MYT
Ismail Sabri berkata, seramai 546 rakyat Malaysia tiba di KLIA pada Selasa dan Rabu. - Gambar BERNAMA
Seramai 18 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dalam enam hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disahkan positif COVID-19 dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan susulan.
Mereka adalah antara 5,316 rakyat tempatan yang menjalani saringan di pintu masuk negara sejak PKPP.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, mereka yang telah disahkan negatif COVID-19 kini sedang menjalani kaurantin wajib di kediaman masing-masing.
Tambah beliau, seramai 546 rakyat Malaysia dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa dan Rabu.
"Kumpulan ini datang dari India, Singapura, Qatar, China, Hong Kong dan Indonesia," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, 10 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan penguat kuasa atas kesalahan imigresen ketika sekatan jalan raya Operasi Benteng sejak Isnin lalu.
Ekoran itu katanya, polis telah melakukan 68 sekatan di seluruh negara serta memeriksa 40,880 kenderaan pada Selasa dalam operasi bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.
"Dari 1 Mei hingga semalam (Selasa), seramai 850 PATI dan 153 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram.
"Penguatkuasa turut menahan 12 individu disyaki penyeludup serta 18 buah kapal," jelasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan yang kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di sempadan negara.
#China #COVID-19 #Hong Kong #India #ismail sabri yaakob #KLIA #pati #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #pintu masuk negara #PKPP #Singapura