COVID-19: 19 lagi kematian direkod, 4 BID

Astro Awani
Disember 20, 2021 00:28 MYT
KKM melaporkan 19 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 19 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,044 orang, daripada 2.71 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, empat daripada 19 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 53,482 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 45,147 individu atau 84.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 4,013 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,932 kes dirawat di hospital dan 390 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 179 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 211 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #bid #brought-in-dead #ICU