ALOR SETAR:Lebih 2,000 petugas barisan hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah akan menerima suntikan vaksin untuk fasa pertama di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata, kesemua petugas terbabit boleh mendapatkan suntikan itu di mana-mana pusat kesihatan dan hospital.

Katanya, ketika ini segala persediaan berjalan lancar termasuk dari segi logistik bagi memastikan vaksin sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

"Nak bagi vaksin ni perlu ada teknik yang betul iaitu kena (disimpan) pada suhu -80 darjah Celsius.

“Kalau sekiranya kita nak edarkan di pusat kesihatan, suhunya sekitar 2 hingga 8 darjah Celsius, dan vaksin tersebut boleh tahan lima hari saja," katanya.

Tambah Dr Mohd Hayati, vaksin ini telah pun dipastikan selamat untuk digunakan dan ia diperolehi daripada Pfizer-BioNTech.

"Pemberian vaksin ini kita utamakan kepada petugas barisan hadapan negara terlebih dahulu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima taklimat berhubung ujian klinikal vaksin COVID-19 di Hospital Sultanah Bahiyah, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin serta pakar perunding perubatan hospital berkenaan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan bekalan vaksin COVID-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Feb nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata sebaik tiba di pintu masuk negara, vaksin itu akan diagihkan kepada negeri-negeri sebelum ia disuntik kepada penerima.

Sementara itu Dr Mohd Hayati berkata, individu sukarelawan yang menjalani ujian klinikal vaksin di negeri ini kini berada dalam keadaan baik tanpa berdepan sebarang masalah.

"Alhamdulilah, setakat ini ia bejalan lancar... tidak ada masalah dan subjek yang kita telah buat ujian setakat ini mendapat respon yang baik dan tidak ada kesan-kesan yang tidak megembirakan," ujarnya.