KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,897 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Selasa, meningkat berbanding 19,268 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter berkata, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 1,746,254.


Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,371 kes diikuti Sabah (2,594), Sarawak (2,285), Johor (2,159), Kedah (1,942), Pulau Pinang (1,732), Kelantan (1,479) dan Perak (1,204).

Sementara Perlis dan Putrajaya merekodkan kes baharu dua angka iaitu masing-masing 64 kes dan 25 kes manakala Labuan, hanya satu kes baharu dicatatkan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 282 kematian direkodkan pada Isnin, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia kini ialah 16,664 kematian.

Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah sebanyak 1,005 dengan 464 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selain itu, kes sembuh pula merekodkan seramai 18,465 pesakit telah pulih, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit pulih ialah 1,461,727, tambah Dr Noor Hisham.