COVID-19: 21 sekolah di Selangor diarah tutup

Khairunnisa Kasnoon
Mei 2, 2021 14:30 MYT
Pihak sekolah juga perlu memastikan kerja-kerja disinfeksi atau sanitasi di sekolah dilaksanakan semasa tempoh penutupan. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Selangor mengarahkan penutupan sebanyak 21 buah sekolah di negeri itu selepas menerima laporan terdapat kes COVID-19 di semua sekolah terlibat.
Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Selangor, Azmi Misron memaklumkan sekolah-sekolah tersebut diarah tutup selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Mei.
"Penutupan berkenaan bagi membolehkan ujian saringan kontak rapat dan penilaian risiko dijalankan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
"Pihak sekolah juga perlu memastikan kerja-kerja disinfeksi atau sanitasi di sekolah dilaksanakan semasa tempoh penutupan.
"Pihak sekolah juga perlu mengadakan perbincangan dengan pihak PKD bersama dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) pada hari pertama penutupan untuk menentukan keperluan melanjutkan penutupan sekolah," ujarnya dalam satu surat yang dilihat Astro AWANI di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak sekolah juga perlu berhubung dengan ibu bapa serta penjaga dari semasa ke semasa agar maklumat berkaitan tempoh penutupan sekolah dapat disampaikan dengan jelas.
"Sehubungan itu, pihak sekolah hendaklah memastikan guru-guru Bekerja Dari Rumah (BDR) dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang tempoh penutupan sekolah," tambahnya.
Sekolah yang ditutup melibatkan 11 Sekolah Kebangsaan (SK), empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan masing-masing satu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK).
Berikut senarai 21 buah sekolah yang diarah tutup di PPD Hulu Langat:
1. SK Bandar Tasik Kesuma
3. SMK Cheras Jaya
4. SJKC Batu 11
5. SMK Bandar Tun Hussein Onn 2
6. SK Jalan 3
7. SK Seri Sekamat
8. SJKT Bandar Mahkota Cheras
9. SMK Saujana Impian
10. SK Jalan 3
11. SJKC Bandar Kajang 2
12. SK Semenyih
13. SK Sungai Serai
14. SMK Sultan Abdul Aziz Shah
15. SK Bandar Seri Putra
16. SK Convent
17. SMK Cheras Jaya
18. SK Bandar Baru Bangi
19. SK Bangi
20. SJKC Ton Fah
21. SMJK Yu Hua
COVID-19 | 21 buah sekolah di selangor diarah tutup
#COVID-19 #pendidikan #sekolah #Jabatan Pendidikan Selangor #tutup #sekolah ditutup #Selangor