Malaysia terus mencatatkan dua angka kes positif COVID-19 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 23 kes positif direkodkan setakat 25 Julai 2020.

Menerusi satu kenyataan pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes pulih dan dibenarkan discaj pula adalah sebanyak 17 kes.

Menurutnya, daripada 23 kes baharu itu, 17 kes merupakan kes penularan di dalam negara dengan 10 kes adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala tujuh kes adalah di kalangan bukan warganegara.

“Enam kes import pula melibatkan empat warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja.

“Kes import tersebut adalah dari negara Singapura yang merekodkan tiga kes, dan masing-masing satu kes dari Indonesia, Filipina dan Rusia.

“Hanya tiga kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tambah beliau, tiada pertambahan kes kematian dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 123 kes.

Dalam pada itu, perincian bagi 10 kes penularan tempatan untuk warganegara Malaysia adalah dua kes di Johor dengan satu kes dari Kluster Warga Emas Kluang dan satu kes saringan di tempat kerja.

Manakala lapan kes dikesan dari Sarawak dengan empat kes daripada Kluster Sentosa, Kluster Kejuruteraan Kuching (satu kes), Kluster Syarikat Pembinaan Kuching (satu kes)

Satu lagi kes dikenal pasti hasil saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang dan dan satu kes seterusnya dikenal pasti hasil saringan di tempat kerja.

Bagi tujuh kes jangkitan dalam negara yang melibatkan kalangan bukan warganegara pula, perincian kes adalah seperti berikut:

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 kes)
Satu kes saringan selepas bersalin, pesakit merupakan seorang tahanan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, tidak bergejala dan sedang dirawat di Hospital Serdang;

Selangor (2 kes)
Satu kes daripada Kluster Rumah Kongsi Sepang dan satu kes saringan di tempat kerja

Johor (4 kes)
Satu kes daripada Kluster Warga Emas Kluang, dua kes daripada Kluster Bukit Tiram dan satu kes saringan sebelum masuk kerja.