KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 24 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,149 orang, daripada 3.04 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 11 daripada 24 kes kematian yang dilaporkan itu berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 168,447 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 155,866 individu atau 92.5 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,963 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 6,419 kes dirawat di hospital dan 199 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 84 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 115 lagi memerlukan mesin ventilator.