COVID-19: 26 lagi kematian direkod, tiga BID

Astro Awani
Januari 1, 2022 23:18 MYT
Terdapat 41,034 kes aktif COVID-19 di seluruh negara, 33,896 daripadanya menjalani kuarantin di rumah, 3,357 di PKRC, 3,508 dirawat di hospital dan 273 di ICU. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 26 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 31,513 orang, daripada 2.75 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiga daripada 25 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 41,034 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 33,896 individu atau 82.6 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,357 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,508 kes dirawat di hospital dan 273 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 114 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 159 lagi memerlukan mesin ventilator.
#Kematian baharu #kes positif #ICU #bid