COVID-19: 27 lagi kematian direkod, 9 BID

Astro Awani
Januari 11, 2022 22:00 MYT
KKM melaporkan 27 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 27 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,723 orang, daripada 2.79 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, sembilan daripada 27 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit covid-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 39,913 kes aktif covid-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 32,703 individu atau 81.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 3,659 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 3,322 kes dirawat di hospital dan 229 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 130 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 99 lagi memerlukan mesin ventilator.
#KKM #Kematian baharu #bid #COVID-19