KUALA LUMPUR: Sarawak merekodkan pertambahan 3,743 kes positif COVID-19 dengan 10 kematian dilaporkan hari ini.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kematian melibatkan pesakit COVID-19 berusia 48 sehingga 89 tahun sekali gus menjadikan angka keseluruhan kematian di negeri itu meningkat kepada 617 kes.

‘’Hari ini lapan kematian yang dilaporkan memiliki ko-morbiditi termasuk penyakit darah tinggi, kencing manis dan anemia.

‘’Manakala dua kematian yang dilaporkan tiada sejarah penyakit yang diketahui,’’ kata kenyataan itu pada Sabtu.

Selain itu, kes kategori satu dan dua mendominasi angka keseluruhan kes dengan 3,735 kes atau 99.79 peratus manakala 0.21 peratus atau lapan kes melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

“3,050 kes atau 81.49 peratus melibatkan kategori satu, 685 kes atau 18.30 peratus merupakan kategori dua.

‘’Satu kes masing-masing melibatkan kategori tiga dan empat serta enam kes melibatkan kategori lima,’’ tambahnya.

BACA: COVID-19: 19,550 kes baharu hari ini, Sarawak terus sumbang angka tertinggi

Sementara itu, Kuching terus melaporkan peningkatan kes dengan 1,405 kes dilaporkan dan enam daerah mencatatkan kes positif tiga angka.

Ia termasuk Sibu (420), Bintulu (311), Samarahan (214), Bau (158), Sri Aman (146) dan Miri (122).

Tambah kenyataan itu, enam daerah juga merekodkan sifar kes termasuk Mukah, Dalat, Tanjung Manis, Matu, Daro dan Kabung.

Antara lain, 20 lokaliti melibatkan tujuh daerah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 8 September sehingga 25 September 2021.

Lima lokaliti melibatkan empat daerah pula dikenakan lanjutan PKPD bermula 11 September sehingga 25 September 2021.