KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 35 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,369 orang, daripada 2.73 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, enam daripada 35 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 42,917 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 36,052 individu atau 84 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,071 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,497 kes dirawat di hospital dan 297 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 128 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 169 lagi memerlukan mesin ventilator.