COVID-19: 37 lagi kematian baharu, keseluruhan 30,147

Astro Awani
November 24, 2021 22:09 MYT
Terdapat 69,261 kes aktif COVID-19 di seluruh negara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 37 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,147 orang daripada 2,597,043 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 9 daripada 37 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 69,261 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 55,705 individu atau 80.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 7,584 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 5,466 kes dirawat di hospital dan 506 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 236 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 270 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #COVIDNOW #KKM #bid