Sebanyak 38 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 7,857 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,338 kes.

"Daripada 38 kes dilaporkan hari ini, 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Oleh itu, daripada 12 kes penularan tempatan, enam kes adalah kes bukan warganegara dan enam kes membabitkan rakyat Malaysia," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Pada masa sama, katanya 51 kes telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 6,404 kes bersamaan 81.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya.

Sehingga kini, katanya seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada Isnin.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.47 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," tambah beliau.