KUALA LUMPUR:Malaysia merekodkan pertambahan 4,094 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan angka berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara kini mencecah angka 198,208 kes.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daripada 4,04 jangkitan baharu itu, sebanyak lapan kes import dilaporkan sementara selebihnya merupakan penularan tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 43,192 kes," kata laporan KKM pada Khamis.

Sementara itu, jumlah korban akibat pandemik berkenaan juga terus mencatat peningkatan apabila sebanyak 10 kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah sebanyak 717 kes.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 303 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 118 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 3,281 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 154,299 kes.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 mengikut negeri, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,577 kes diikuti Johor (717 kes) dan Kuala Lumpur (678 kes).