KUALA LUMPUR : Jumlah kes baharu COVID-19 pada Selasa kembali meningkat apabila 4,097 kes baharu dilaporkan.

Angka itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik kepada 2,699,240.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat semalam, 29 lagi kematian baharu dilaporkan dengan angka kumulatifnya 30,908.

Bagaimanapun, sebahagian besar kes masih membabitkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 97.9 peratus.

Manakala selebihnya terdiri daripada pesakit kategori 3,4, dan 5 iaitu sebanyak 86 kes.

Setakat ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan seramai 382 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 201 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh dilaporkan sebanyak 4,301 kes menjadikan keseluruhan kes pulih kepada 2,610,610.