KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan 4,744  kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit meningkat berbanding semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif di negara ini adalah sebanyak 2,844,969.

Sementara itu, data COVIDNOW merekodkan pertambahan 16 lagi kes kematian dengan angka kumulatif ialah sebanyak 31,918 kematian. 

Jumlah itu juga termasuk tiga kes brought-in-dead (BID) atau kes kematian di luar hospital.


Setakat ini, 129  pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 72 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, jumlah kes sembuh yang direkodkan ialah 3,646 kes, sekali gus menjadikan angka kumulatif bagi kes sembuh adalah sebanyak 2,766,254.

Sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu 99.4 peratus atau 4,714  kes melibatkan pesakit tidak bergejala dan gejala ringan.

Selebihnya merupakan pesakit kategori 3, 4, dan 5 iaitu sebanyak 0.6 peratus atau bersamaan 30 kes.

Dalam pada itu, 21 kluster baharu turut dikesan dengan 259  kluster masih lagi aktif sementara 6,090 kluster telah diisytiharkan tamat.