KUALA LUMPUR:Peningkatan kes baharu COVID-19 sejak kebelakangan ini menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia berasa negara kini berada di landasan yang salah berbanding pada bulan Ogos dan September.

Menurut kajian IPSOS Malaysia, bertajuk “What Worries Malaysia”, jumlah peratusan responden yang rasa negara berada di landasan yang salah meningkat kepada 40 peratus.

Dalam masa yang sama, menurut kajian berkenaan, 60 peratus masih percaya negara berada di landasan yang betul.

Jumlah responden yang rasa negara di landasan yang betul terus menurun sejak kadar tertinggi 75 peratus yang dicatatkan pada Julai.








Secara amnya, daripada lima perkara yang merisaukan rakyat Malaysia, COVID-19 dan rasuah politik dan kewangan mencatatkan peningkatan pada Oktober berbanding Julai.

Dalam masa yang sama, pada Oktober, petunjuk berkenaan kerisauan Jenayah dan Keganasan, Kemiskinan dan Ketidaksamarataan dan Pengangguran catatkan sedikit penurunan.

Berbanding penanda aras kerisauan tentang COVID-19 global pada 44 peratus pada Oktober, warga Malaysia berada jauh lebih risau pada 77 peratus.

Ini adalah jauh lebih tinggi daripada negara yang catatkan antara kes harian COVID-19 yang tinggi seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Sepanyol pada sekitar 46 ke 61 peratus.