KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 43 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini 32,433 orang, daripada 3.25 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 20 daripada 43 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 267,084 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 254,520 individu atau 95.3 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,704 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 7,574 kes dirawat di hospital dan 286 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 106 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 180 lagi memerlukan mesin ventilator.