KUALA LUMPUR: Jangkitan baharu COVID-19 dalam negara terus menunjukkan trend penurunan dan kekal berada di bawah 500 kes.

Bagaimanapun, semalam jumlah kes naik sedikit ke 433 kes berbanding 333 kes yang dilaporkan hari sebelumnya.

Portal KKMNOW turut memaklumkan tiada kematian dilapor berkaitan dengan COVID-19.

Sementara itu, kes aktif pada Rabu juga turun ke 11,696 kes, dan daripada jumlah itu 11,084 kes atau 94.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 581 pesakit mendapat rawatan di hospital.

31 daripada mereka ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), manakala 21 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negara juga mencatatkan 500 kes sembuh.