KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 44 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,265 orang, daripada 2.72 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 10 daripada 44 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 47,863 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 39,940 individu atau 83.4 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,946 orang pula ditempatkan di pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,648 kes dirawat di hospital dan 329 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 150 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 179 lagi memerlukan mesin ventilator.