COVID-19: 49 lagi kematian baharu, keseluruhan 30,474

Astro Awani
Disember 1, 2021 22:02 MYT
Sebanyak 5,018 kes dirawat di hospital dan 500 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU). - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 49 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,474 orang, daripada 2,632,297 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 12 daripada 49 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 63,740 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 52,066 individu atau 81.7 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 6,156 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 5,018 kes dirawat di hospital dan 500 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 242 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 258 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #kes kematian #COVIDNOW #KKM