Terdapat 53 kes pulih dan discaj COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negara ini sebanyak 5,912 kes atau 82.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata selain itu terdapat 48 kes baharu dikesan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Jumlah kes terkini itu menunjukkan penurunan berbanding kes baharu yang direkodkan pada Jumaat.

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,185 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,158 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 48 kes baru yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 44 kes penularan tempatan, 25 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 21 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih,” katanya dalm sidang media harian, di sini pada Sabtu.

Jelas beliau, sehingga kini, terdapat sembilan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata tiada kematian baharu dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan, setakat hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 115 kes (1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujar beliau lagi.