KOTA KINABALU:Jabatan Kesihatan Sabah telah merekodkan sejumlah 100 kluster COVID-19 di Sabah sehingga 14 Disember.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes aktif dan baharu di negeri itu masih disumbang oleh kluster sedia ada.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 283 kes, menjadikan jumlah kumulatif
sebanyak 33,111 kes dengan dua kematian dicatatkan iaitu masing-masing satu di Tawau dan Kota Kinabalu.

"Daripada jumlah itu sebanyak 155 kes adalah berpunca daripada saringan kontak rapat di 10 daerah, 64 kes daripada saringan kluster-kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti enam kes dan 22 kes adalah daripada lain-lain kategori.

"Setakat hari ini sebanyak 58 kluster masih aktif dan 42 kluster telah ditamatkan.

"Daerah Kota Kinabalu mencatatkan 22 kluster diikuti Sandakan (18) dan Tawau (16)," katanya menerusi sidang media maya di sini pada Isnin.

Tambahnya setakat 14 Disember, sejumlah 2,143 pesakit COVID-19 masih menerima rawatan di hospital dan Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 (PKRC) di seluruh negeri itu.

"Pada hari ini, seramai 434 pesakit COVID-19 telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 29,883 orang.

"Sejumlah 2,143 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 614 orang di hospital dan 1,529 orang di PKRC, manakala bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 61 orang dan 16 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Pada Isnin 12 daerah masih dikategorikan sebagai zon merah, selain Pitas dan Beluran (zon jingga) manakala Sipitang dan Nabawan kekal zon hijau.