COVID-19: 66 lagi kematian baharu, keseluruhan 30,718

Astro Awani
Disember 7, 2021 23:41 MYT
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 9 daripada 66 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID). - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 66 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 30,718 orang, daripada 2.66 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 9 daripada 66 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 60,411 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 49,279 individu atau 81.6 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 5,875 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 4,820 kes dirawat di hospital dan 437 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 197 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 240 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #COVIDNOW #bid #KKM