COVID-19: 78 lagi kematian direkod, korban keseluruhan 29,427

Astro Awani
November 9, 2021 23:50 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 78 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sejumlah 78 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 29,427 kes, daripada 2,511,691 kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.
Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 19 daripada 78 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.
Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.
Sementara itu, terdapat 61,803 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 48,058 individu atau 77.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.
Seramai 7,703 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Sebanyak 5,500 kes dirawat di hospital dan 542 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kes ICU membabitkan 274 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 268 lagi memerlukan mesin ventilator.
#COVID-19 #bid #kematian #PKRC