COVID-19: 81.13 peratus kes baharu hari ini tiada, tidak lengkap vaksinasi

Astro Awani
Ogos 23, 2021 11:04 MYT
436 kes atau 2.5 peratus daripada 17,672 kes baharu harian COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori 3, 4 dan 5. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 436 kes atau 2.5 peratus daripada 17,672 kes baharu harian COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, baki kes iaitu 17,236 kes bersamaan 97.5 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
"Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis COVID-19.
"Ada di antara kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi," katanya dalam kenyataan media harian beliau hari ini.
Secara keseluruhan, beliau berkata 14,337 kes atau 81.13 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Justeru, beliau menggesa rakyat di negara ini untuk segera mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius.
BACA SEMUA BERHUBUNG PROGRAM VAKSINASI DI MALAYSIA
BACA SEMUA BERHUBUNG COVID-19 DI SINI
#Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #kes harian COVID-19 #program vaksinasi