PUTRAJAYA:Malaysia merekodkan sebanyak 851 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam.

Daripada angka berkenaan, 847 kes merupakan penularan dalam negara manakala empat lagi merupakan kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh baharu adalah sebanyak 858 dengan jumlah kumulatif 56,969.

Dr Noor Hisham berkata, negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 334 kes (39.2 peratus).

"Daripada jumlah ini, negeri Selangor melaporkan sebanyak 249 kes (74.6 peratus).

"Jumlah pelaporan kes harian kedua tertinggi pula dicatatkan oleh negeri Sabah iaitu sebanyak 229 kes (26.9 peratus) dan diikuti dengan negeri Johor sebanyak 102 kes (12.0 peratus)," katanya semasa sidang media pada Rabu.


Dalam pada itu katanya, sebanyak dua kematian masing-masing direkodkan di Sabah dengan jumlah kematian setakat ini adalah 365.

Sebanyak lima kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu, Kluster Desa Pinang di Kepong, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Kluster Impian melibatkan Gombak, Selangor dan Kluster Baloi melibatkan Johor bahru dan Pontian, Johor.

Sementara, Kluster Jernal dan Kluster Seri Wangsa melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jelasnya, sehingga kini, terdapat sebanyak 369 kluster dilaporkan termasuk lima kluster terbaharu.

"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 186 kluster termasuk dua kluster
yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Cahaya dan Kluster Alma.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183 kluster. Daripada jumlah tersebut,
sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Batu Tujuh (51 kes), Kluster Beringin (36 kes), dan Kluster Kaya (33 kes)," katanya.