Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 88 kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 4,864 kes, bersamaan 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga 8 Mei 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 68 kes, baharu yang telah dilaporkan, di mana 57 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Ingin dimaklumkan bahawa daripada 68 kes baharu yang dilaporkan hari ini, empat (4) kes import dilaporkan.

"Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 64 kes, di mana sebanyak tiga (3) kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, jelas Noor Hisham, seramai 18 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dimana tujuh kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, KKM memaklumkan tiada kes kematian dicatatkan pada hari ini. dan jumlah kematian di Malaysia kekal 107 kes bersamaan 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.