KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 9,002 kes baharu COVID-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 4.34 juta.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 8,935 kes (99.26 peratus) adalah dalam kategori satu dan dua, sementara 67 kes (0.74 peratus) lagi dalam kategori tiga, empat dan lima.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 151 kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 97 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan, jumlah kes sembuh yang direkodkan pula adalah sebanyak 16,986.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan juga, jelas beliau, turut merekodkan tiga kluster baharu dengan 117 kluster masih aktif.

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) COVID-19 di seluruh negara ketika ini adalah 0.84, dengan Selangor mencatatkan bacaan tertinggi pada 0.93.