KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sembilan kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini 32,043 orang, daripada 2.9 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, dua  kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 74,561 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 65,566 individu atau 87.9 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 4,695 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 4,165 kes dirawat di hospital dan 135 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 54 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 81 lagi memerlukan mesin ventilator.